Panduan untuk bakal dan pesara tentera mendapat pekerjaan
Kerap kita mendengar luahan dan keluhan pesara tentera mengenai kesukaran mereka menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan. Kepada pesara yang berpencen, jumlah wang pencen yang diterima tidak mencukupi bagi menampung keperluan keluarga, tambahan umur pesara di sekitar 41 tahun ke 45 tahun adalah satu umur yang kritikal. Anak-anak sedang membesar dan mula memasuki universiti.
Setiap tahun Persatuan Veteran akan merayu kepada kerajaan bagi
mempertimbangkan bayaran One Off kepada mantan tentera yang tidak
berpencen, sampai bila ini harus berlaku? Persatuan Veteran
sepatutnya menumpukan kepada veteran yang tidak berkeupayaan dari segi
fizikal, sakit kronik dan veteran warga emas disamping balu-balu serta anak-anak veteran yang telah
meninggal dunia, bukannya kepada veteran yang sihat dan masih kuat.
Nasihat saya kepada anggota tentera yang sedang berkhidmat,
teruskan khidmat anda sehingga cukup tempoh layak mendapat pencen.
Manakala bagi anggota yang tempoh perkhidmatan wajib telah sampai
siapkan diri anda untuk menghadapi kehidupan sebagai orang awam.
Justeru itu, persoalannya apakah persiapan yang perlu ada sebelum bakal persara mahupun yang telah bersara untuk mencari pekerjaan kedua selepas perkhidmatan tentera?
Bagi menjawab persoalan ini ianya bergantung kepada kepakaran yang anda ikuti semasa dalam perkhidmatan. Tidak semua anggota tentera mempunyai bidang dan kepakaran yang sama. Setiap anggota dari Tentera Darat, Udara dan Laut mempunyai kepakaran yang berlainan, di sini anda perlu menggunakan bidang dan kepakaran anda untuk meneruskan kehidupan di dunia awam ini.
Saya telah bertemu dengan ramai mantan tentera dari prebet hingga ke Panglima perkhidmatan. Kebanyakan mantan tentera yang mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan yang lebih berkualiti berbanding didalam perkhidmatan terdiri dari mereka berpangkat Major/Lt Kdr ke bawah.
Tulisan kali ini saya akan fokuskan persedian sebelum
bersara dan juga kepada anggota yang telah bersara untuk mendapat pekerjaan atau sekurang-kurangnya tidak mengharapkan duit pencen
semata-mata atau belas ihsan dari Persatuan Veteran mahu pun kerajaan.
Perniagaan
Inilah bidang menjadi idaman semua
pesara dan bakal pesara, bunyinya amat menarik tambahan lagi melihat
kawan-kawan yang telah berjaya. Anda boleh saja ceburi bidang ini sekiranya
telah bermula dan mempunyai perniagaan sendiri sebelum bersara dan tahu selok belok alam perniagaan. Anda tidak digalakkan jika baru hendak berniaga setelah bersara, dikhuatiri duit gratuiti akan lesap dan
perniagaan entah ke mana.
Tahap akademik
Ambil kesempatan dari peluang semasa berkhidmat untuk tingkatkan tahap akademik anda, jika dahulu masuk tentera dengan sijil SRP atau SPM pastikan anda keluar tentera dengan sijil Diploma atau Ijazah. Perkhidmatan tentera banyak menyediakan pendidikan percuma bagi anggotanya.
Pengalaman
Walaupun pengalaman anda selama 21 tahun atau lebih dalam tentera, ianya bukanlah sesuatu yang menjadi kelebihan kepada anda jika tiada sijil-sijil yang boleh menyokong anda. Sekiranya anda ingin mencari pekerjaan, syarikat memerlukan sijil bagi membuktikan tahap kelayakan anda bukan sekadar testimoni anda berkhidmat di dalam Angkatan Tentera. Ingat, anda bukan mencari kerja sebagai seorang pengawal keselamatan kerana pekerjaan ini telah di monopoli oleh warga Nepal.
Sijil Professional dan Kepakaran
Kepakaran dan pengalaman semasa dalam perkhidmatan boleh ditukar kepada sijil professional dengan menghadiri kursus-kursus pendek dan menduduki peperiksaan khas seperti berikut:
a. Quality Control (QC)
b. Auditor
c. Projek Management Professional (PMP)
d. NIOSH
e. IT Support Professional Certificate
f. Chef
g. Master in Business Administration (MBA)
h. Executive Diploma
i. Sijil Kemahiran Vokasional Malaysia (Tahap Diploma Lanjutan)
Senarai di atas adalah contoh sijil-sijil yang boleh didapati semasa dalam perkhidmatan dan ianya amat bernilai sewaktu mencari kerja diluar nanti. Banyak lagi sijil-sijil professional yang berkaitan dengan bidang anda semasa dalam perkhidmatan yang boleh anda cari dan dapatkan. Kepada anggota yang telah berhenti belum terlambat untuk anda dapatkan sijil-sijil tersebut mengikut kepakaran masing-masing. Diingatkan, anda terpaksa bersaing dengan graduan pemegang Ijazah untuk mencari kerja, tetapi dengan sijil professional yang anda miliki anda akan mempunyai kelebihan.
Networking
Semasa masih dalam perkhidmatan mulakan networking dengan syarikat mahupun orang perseorangan. Tetapi awas, anda dilarang keras untuk bersekongkol dengan individu-individu yang ada kepentingan menggunakan kedudukan anda untuk mendapat maklumat, kontrak, tender dan seumpamanya. Individu ini hanya berjanji semasa anda berada dalam kedudukan yang boleh digunakan. Janji mereka akan lenyap setelah anda berhenti dan tidak diperlukan. Jangan percaya dengan tawaran kerja dari individu-individu oportunis ini. Anda akan lebih dihargai dan dihormati jika melakukan kerja dengan amanah. Peluang untuk mendapat kerja lebih cerah kerana nama anda akan dijual sebagai seorang yang beramanah dan berprinsip.
Keyakinan Diri
Di dalam dunia penuh persaingan keyakinan diri untuk bersaing dengan orang awam adalah amat penting. Berbekalkan ilmu, pengalaman, sijil-sijil dan kematangan meletakkan anda satu langkah di depan. Kuasai Bahasa Inggeris dengan baik menulis dan bertutur, kebanyakan pemain-pemain di dalam industri pertahanan adalah dari luar negara. Kefasihan menguasai Bahasa Inggeris akan menjadi kelebihan untuk anda diambil bekerja dengan syarikat-syarikat berkaitan GLC dan industri pertahanan seperti Boustead, DefTEch, Sapura, Airod, Grade One, Labuan Shipyard dan syarikat-syarikat yang mendapat kontrak ketenteraan yang lain dengan Kementerian Pertahanan.
Pelbagaikan pekerjaan
Sekiranya pekerjaan baru anda tidak mencukupi menampung perbelanjaan keluarga, buat kerja sampingan yang halal seperti berikut:
a. Agen insuran
b. Perniagaan Online
c. Pemandu Grab
d. Mengajar
e. Konsultan
f. Agen hartanah
g. Lain-lain bidang mengikut kepakaran semasa dalam perkhidmatan
Simpanan
Akhir sekali, simpan 90% duit gratuiti anda dalam institusi amanah atau koperasi seperti ASB, Tabung Haji, Koperasi Tentera dan koperasi lain yang memberi pulangan yang baik. Jangan gunakan duit ini sekurang-kurangnya untuk trmpoh 5 ke 10 tahun sehingga anak-anak sudah berdikari ataupun anda sudah stabil mendapat pekerjaan tetap.
Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi petunjuk dan manfaat kepada bakal pesara dan juga pesara yang masih tercari-cari hala tuju. Jangan putus asa teruskan berusaha sehingga anda mencapai cita-cita untuk membaiki kualiti hidup lebih baik dari sebelumnya.
Di dalam tulisan saya yang akan datang saya akan tumpukan kepada satu bidang professional yang boleh diceburi pesara tentera.
Mengenai penulis.
Lt Kdr (Bersara) Wan Haniff WA, memasuki Angkatan Tentera sebagai Perantis Putera di Port Dickson (AFATS) di usia 16 tahun pada tahun 1981. Melanjutkan bidang kepakaran elektronik di HMAS NIRIMBA Australia sebagai Perantis Kimpu Tentera Laut. Pangkat terakhirnya sebelum di tauliah kepada Pegawai Tugas Khas adalah Bintara Kanan (Staff Sgt). Berkhidmat selama 26 tahun sebelum bersara dengan pangkat Lt Kdr (TLDM). 10 tahun bekerja di dunia awam kini menjadi Acting CEO di Boustead Heavy Industries Corperation Systems Integration Sdn Bhd (BHICSI).

jutaan TK dn syabas atas upaya tn berkongsi panduan. ye, kpd yg masih berkhidmat, teruskanlah sehingga tamat berpencen.. nilai RM semakin susut dan akan terus susut. impaknya nya adalah kos sara hidup meningkat mendadak. susun strategi dgn rapi utk mengahapi era berpencen. sekiranya masa mendatang kerjaan tukar konsep kpd 'tiada berpencen' maka sara hidup alam sivilian kita akan lagi mencabar.. makaitu rancanglah dgn bijaksana dari awal2 lagi exRM 1976--1989
ReplyDelete