Pertanian sumber makanan dan kekayaan

 Pertanian sumber makanan dan kekayaan

Ramai yang mengeluh dan putus harapan bila pandemic Covid 19 melanda dan LOCKDOWN di kuat kuasa, kes bunuh diri meningkat, rakyat tertekan, kebebasan disekat, pengganguran meningkat dan banyak perkara negatif berlaku. Adakah kita hanya berdiam diri hanya duduk dirumah sambil berdoa agar Covid berlalu pergi?...

Saya diberhentikan kerja hampir setahun lalu semasa Covid 19 tengah hebat melanda negara. Alhamdulilah, saya tidak terkena kejutan budaya walaupun saya kehilangan belasan ribu ringgit setiap bulan dari gaji sebagai pengurus kanan di GLC.

Saya bernasib baik kerana beringat semasa bekerja dahulu, lagi pun pencen kerajaan saya sebelum bekerja di GLC dulu cukup untuk makanan harian saya suami isteri.


Anak-anak telah bekerja dan sudah ada keluarga masing-masing. Walaupun saya dan isteri dalam pertengahan usia 50 an.


Saya juga bersyukur ada sedikit tanah peninggalan orang tua yang mana saya laburkan sedikit wang simpanan dengan tanaman pokok Musang King dan varieti durian yang lain.


Perbezaan ketara hanyalah dahulu saya berpakaian kemas ke pejabat dan bekerja di dalam pejabat berhawa dingin tetapi kini saya seorang pekebun. Kulit pun dah kusam dan gelap kerana terdedah dengan cahaya matahari. 


Satu perkara yang tidak berubah ialah displin kerja, walaupun bekerja sendiri tetapi waktu bekerja tetap sama tidak boleh ponteng berkebun.


Masalah ekonomi individu dan negara akan berpanjangan tanpa diketahui bila akan berakhir selagi pandemik Covid 19 ini tidak ditangani sepenuhnya. Vaksin bukanlah penyelesaian yang hakiki. Kerap kita dengar orang yang telah mengambil 2 dos vaksin tetap juga dijangkiti Covid 19 ini.


Kerajaan tidak mampu memberi bantuan kewangan kepada semua rakyat, pengganguran semakin bertambah, pelabur lari, banyak syarikat gulung tikar, perniagaan merosot. Rakyat tiada lagi kuasa membeli. Masalah ini mungkin berlanjutan selama 5 tahun akan datang.


Rakyat mula merancang perbelanjaan mereka, barangan tidak perlu tidak lagi dalam senarai pembelian. 


Tetapi satu perkara yang pasti, manusia mesti makan untuk terus hidup. Barang makanan semakin mahal.


Justeru, saya sarankan kepada anak muda yang mempunyai tanah emak ayah terbiar di kampung supaya balik dan usahakan tanah tersebut dengan tanaman yang boleh memberi pulangan yang baik.


Banyak jenis tanaman samada jangka pendek seperti sayur- sayuran, jagung, serai dan padi manakala jangka sederhana seperti pisang dan nenas mahupun tanaman jangka panjang seperti durian dan buah-buahan yang lain.


Untuk tanaman jangka panjang boleh juga diselitkan dengan tanaman kontan sebagai tanaman selingan.


Tetapi untuk mengusahakan tanah yang lama terbengkalai bukannya murah, anggaran kasar untuk satu ekar bagi tanaman durian dan selingan kontan tidak kurang RM20,000. Sudah tentu anak muda ini tidak mampu mengeluarkan wang sebanyak itu.


Peranan kerajaan terutama Kementerian asas tani memberi bantuan kepada golongan ini amatlah diperlukan. Malangnya walaupun terdapat beberapa pakej bantuan yang ditawarkan tetapi syarat yang dikenakan sukar untuk direalisasikan. 


Agensi kerajaan dan separa kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Peladang, FAMA, RISDA, FELCRA dan agensi berkaitan pertanian yang lain hendaklah turun padang membantu petani muda yang ingin berkecimpung dalam pertanian mahupun pertenakan.


Dukacita, dari pengalaman sendiri beberapa dari agensi diatas tidak banyak membantu. Pegawai berkaitan seronok dapat bekerja di rumah semasa Pandemik Covid 19 melanda hingga terlupa dengan pekebun yang memerlukan bantuan dari kepakaran mereka di ladang.


Kementerian asas tani, disarankan menempatkan lebih ramai pegawai pertanian disetiap daerah. Pegawai ini hendaklah dilengkapkan dengan pengetahuan berkaitan tanaman, perladangan, penternakan dan pertanian.


Jika diuruskan tanah terbiar dengan bijaksana serta bantuan, bimbingan dan pengawasan diberikan, industri pertanian akan berkembang maju, anak muda akan beralih kepada bidang pertanian walaupun ianya kerjaya yang amat mencabar.


Saya bersyukur diberikan kesihatan yang baik walaupun telah menghampiri usia emas, tetapi masih mampu mengerjakan tanah seorang diri bagi kelansungan hidup anak-anak dimasa hadapan kerana ekonomi dunia yang tidak pasti untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun lagi.


Saya berharap, ada diantara anak-anak saya dapat meneruskan usaha pertanian yang telah saya mulakan setahun yang lalu.


Untuk hidup manusia perlukan makanan, dan pertanian itu adalah sumber makanan dan perniagaan yang boleh menjana keuntungan.


27 Jun 21

Sri Manjung















Comments

Popular posts from this blog

Panduan untuk bakal dan pesara tentera mendapat pekerjaan

Tanah kepada pemain bola tetapi kepada veteran tentera tinggal janji