MENYEWA RUMAH LEBIH BAIK DARI MEMBELI


MENYEWA RUMAH LEBIH BAIK DARI MEMBELI
Lambakan rumah ‘Mampu Milik’ di sekitar lembah Kelang menjadi masalah kepada pemaju dan kerajaan.  Rumah yang dikatakan ‘Mampu Milik’ itu sebenarnya hanya boleh mampu dilihat.  Jadilah pengguna bijak mengapa mesti membeli dengan terikat kepada komitmen yang tinggi, jika anda boleh menyewa dengan pulangan lebih menguntungkan.  Gunakan kuasa membeli anda untuk mendesak pemaju dan kerajaan menurunkan harga rumah ‘Mampu Milik’ tersebut kepada tahap betul-betul ‘Mampu Milik’.  Baca selanjutnya di sini https://atokwanadam.blogspot.com/

Jadilah pengguna bijak, anda tidak perlu mengikat perut untuk membeli rumah.
Bila saya menulis artikel berkaitan isu menyewa rumah lebih baik dari membeli di dalam FB, ramai yang tidak setuju dengan saya.  Walau bagaimanapun masing-masing mempunyai pandangan berbeza bergantung tahap ekonomi mereka.  Bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur dengan pendapatan kurang dari RM3500 sebulan nasihat saya adalah, menyewa rumah adalah lebih baik dari membeli.
Seperti tulisan saya berkaitan Rumah Mampu Milik sebelum ini, membeli rumah memerlukan komitmen yang lama.  Justeru itu, menyewa rumah adalah satu opsyen yang terbaik.  Sebelum saya mengulas panjang berkaitan perkara ini, ingin saya berkongsi pengalaman perbualan saya dengan seorang sahabat warga negara Perancis yang sama bekerja di Cyberjaya.  Beliau telah lama menetap dan bekerja di sini, tinggal di kondominium mewah di Kuala Lumpur Bersama isterinya.  Semua anak-anaknya telah bekerja di Perancis.  Pierre adalah nama panggilan mesranya umur sekitar awal 60 an.  Pierre tidak pernah membeli rumah samada di Perancis mahupun di mana-mana negara yang pernah dia bekerja.  Saya agak hairan, kerana pendapatan yang diperolehinya dia mampu untuk membeli sebuah rumah di Malaysia sekiranya dia mahu.
Untuk menyelami lebih lanjut kemana hala tujunya selepas bersara kelak, saya bertanyakan kemana dia dan isteri akan tinggal apabila telah bersara kerana dengan umur yang lanjut sukar untuk dia membuat pinjaman bank.  Dia tersenyum sinis, memahami soalan saya.  Jawapannya membuat saya tersentak seketika, “mengapa perlu membeli rumah kalau dia boleh menyewa dengan harga yang berpatutan”.  Itu jawapan Pierre membuat saya terfikir sejenak.

Mengapa perlu membeli rumah kalau sewa lebih menguntung dan menyenangkan, sebuah apartment di Kuala Lumpur katakan di Bukit Jalil dengan harga Rumah “Mampu Milik” sekitar RM250 ribu anda mesti ada di dalam simpanan sekurang-kurangnya RM30 ribu, dan terpaksa membuat komitment pinjaman selama 35 tahun dengan bayaran bulanan RM1250 termasuk kos selenggaraan.  Bayaran ini akan meningkat kerana kos selenggaraan akan meningkat setiap beberapa tahun.  Dengan menyewa apartment bersaiz 1000 kaki persegi di Bukit Jalil adalah sekitar RM1000 sahaja, terdapat juga dengan tambahan RM200 lagi setiap bulan anda akan dapat apartment penuh dengan perabot, anda cuma perlu basuh kaki masuk ke rumah baru.  Modal, permulaan sebagai deposit menyewa hanya lebih kurang RM3000 termasuk sewa bulan pertama.  Anda tidak perlu modal sebanyak RM30,000.  Duit lebihan yang anda ada itu boleh disimpan di dalam ASB.

Anda tidak perlu memiikirkan kos selenggaraan semua di bayar pemilik rumah, semua kerosakan di dalam rumah hanya satu panggilan talipon ke pemilik rumah semuanya akan beres atau anda boleh tolak dari wang sewaan sekiranya kerosakan tersebut anda lakukan dengan mengupah orang.  Senang bukan?  Apa yang penting perjanjian menyewa rumah mestilah dilakukan dengan betul dan sesuai dengan kehendak anda.

Ramai yang kata membeli rumah adalah satu pelaburan jangka panjang dan ianya adalah asset.  Saya tidak nafikan perkara tersebut kerana saya juga telah terlibat membeli dan menjual rumah sehingga kini sebanyak 5 buah.  Bukanlah saya ada 5 buah rumah sekarang, yang tinggal dengan saya hanya 2 buah sahaja.  Sayugia diingatkan rumah saya bukan terletak di Kuala Lumpur tetapi di pekan kecil yang harganya jauh lebih murah dari Kuala Lumpur.  Baru-baru ini saya menjual apartment yang saya beli sejak 2 tahun yang lalu.  Mengapa saya menjual apartment? Soalan cukup menarik, mengapa perlu saya membayar sebulan RM1650 termasuk kos selenggaraan selama 20 tahun hanya tinggal di apartment berkeluasan 865 kaki persegi kalau saya boleh menyewa rumah semi D dua tingkat dengan hanya RM800 sebulan.  Saya hanya perlu tambahan 6 km sahaja untuk ketempat kerja di Cyberjaya.  Semua cas kerosakan saya potong dari sewa bulanan, bukan kah itu menguntungkan dan menyenangkan. Saya tidak perlu fikir untuk membayar segala cukai dan bayaran lain seperti indah water serta cukai tanah dan cukai Majlis.  Apa yang anda perlu lakukan ialah membuat sedikit analisis dan kajian seblum membuat keputusan.

Kalau tidak membeli rumah kemana kita akan tinggal bila hari tua nanti? Soalan ini sama seperti saya tujukan kepada Pierre.  Saya lihat Pierre gembira dan tidak risau kerana tidak mempunyai rumah.  Rumah adalah keperluan untuk kita tinggal dan membesarkan anak-anak kelak.  Kualiti tempat tinggal adalah penting bagi anak-anak membesar dengan sempurna.  Oleh itu, dengan membeli sebuah rumah apartment 3 bilik keluasan 850 kaki persegi bukan lah satu yang sesuai untuk membina keluarga.  Dengan komitment selama 35 tahun pinjaman bank, kita terpaksa tinggal di rumah tersebut sehingga umur bersara.  Komitmen yang tinggi dan lama kita tiada pilihan terpaksa tinggal di apartment tersebut, walaupun keluarga semakin membesar.  Tetapi sekiranya kita tiada komitmen ke atas sesuatu asset alangkah mudah untuk kita merancang kemana hala tuju yang baik bagi keluarga mengikut keadaan besar atau kecilnya keluarga seseorang itu kelak.

Bagi yang baru bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, simpan duit untuk mulakan hidup bekeluarga jangan fikirkan pasal rumah kerana terlalu banyak rumah kosong di Kuala Lumpur untuk disewa.  Anda boleh saja melayari web site Mudah.my ataupun Iproperty untuk memilih rumah yang anda suka dengan harga yang anda mampu tanpa sebarang komitmen.  Anda mempunyai pilihan rumah yang berdekatan untuk anda ke tempat kerja termasuk pasangan anda.  Perlu diingat juga, anda mungkin tidak kekal bekerja di satu tempat atau boleh saja dipindahkan oleh syarikat anda bekerja.  Mengapa memeningkan kepala untuk membeli rumah dan terikat dengan pekerjaan yang mungkin anda tidak suka.
Rancang Bersama pasangan anda di mana tempat yang sesuai bagi membesarkan anak-anak dan tempat anda ingin bersara kelak.  Rancang dari awal, setelah pasti dengan rancangan tersebut mulalah buat carian rumah mahupun tanah plot untuk didirikan rumah.  Dicadangkan, pembelian asset diluar Kuala Lumpur adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian mendalam bila anda telah bersedia untuk membeli asset nanti.  Jarak bukan satu masalah jika anda membeli asset jauh dari tempak kerja, dengan pengangkutan serba maju anda cuma perlu buat sedikit kajian stesyen pengangkutan yang berjampiran di kawasan yang anda pilih nanti.

Akhirnya saya mendapat jawapan dari Pierre dimana dia dan isteri akan menghabiskan usia emasnya nanti, dengan simpanan yang ada dia dan isteri akan mencari satu rumah kecil untuk disewa di Australia sambal menikmati hari-hari emasnya bersama isteri tercinta tanpa perlu risau dengan bebanan hutang.  Anak-anak boleh sahaja melawat mereka dengan sistem pengangkutan yang murah dan canggih sekarang ini.
Saya tersenyum sendirian, kerana saya tidak seperti Pierre waktu dan saat yang bahagia pada saya adalah bersama cucu-cucu dan anak-anak tidak lupa dengan isteri tersayang, oleh itu saya memerlukan sebuah rumah yang selesa untuk semuanya berkumpul bila-bila masa.  Alhamdulilah saya telahpun punyai rumah idaman di luar Kuala Lumpur.  Manjung adalah tempat yang paling sesuai untuk pesara.

Atok Wan Adam
2 Nov 18
Cyberjaya

Comments

Popular posts from this blog

Panduan untuk bakal dan pesara tentera mendapat pekerjaan

Pertanian sumber makanan dan kekayaan

Tanah kepada pemain bola tetapi kepada veteran tentera tinggal janji